Warnai Kehidupanmu
Kehidupan diceriakan dengan warna-warna gembira.
Isnin, 7 Mei 2012
Cintai Aku Bab 1
BAB 1
TERMENUNG, murung, tak bercakap dan tak nak makan. Semua simptom yang ditunjukkan Syiha sebaik sahaja dibenarkan pulang dari hospital.
“Makan sikit ya, nak. Mak suapkan.” Puan Afidah menyua sudu bubur ayam yang baru dimasaknya. Syiha hanya menoleh sebentar sebelum menggelengkan kepala.
“Syiha tak lapar. Mak makanlah…” Tidak bernada suara anak gadis itu membuatkan air mata Puan Afidah mahu mengalir.
“Kenapa macam ni Syiha? Siapa yang buat kau macam ni? Cuba cakap dengan mak.” Puan Afidah sudah hilang sabar. Mangkuk bubur diletak tepi. Tangannya kini menggoncang tubuh anak yang semakin hari semakin susut. Hati ibu mana tidak sakit melihat anaknya seperti mayat hidup.
“Cakap dengan mak! Cakap!” Gesa Puan Afidah. Syiha hanya membiarkan tubuhnya digoncang si ibu. Dia tiada tenaga mahu membalas.
“Subhana-Allah Idah. Apa awak buat ni? Sakit budak tu.” Suara lantang Encik Hakim mematikan perbuatan Puan Afidah.
“Saya sakit bang. Sakit bila anak kita jadi macam ni. Siapa yang buat Syiha macam ni bang? Kenapa dia buat anak kita macam ni? Saya sedih tengok anak saya macam ni,” rintih Puan Afidah. Air mata dah berjurai membasahi pipi. Encik Hakim menghampiri dan memeluk bahu isterinya.
“Awak jangan lemah macam ni. Kalau awak lemah, siapa nak sokong Syiha. Kita kena sama-sama beri semangat baru pada Syiha ni,” pujuk Encik Hakim lembut.
“Kita nak tolong macam mana kalau dia tak nak tolong diri dia sendiri. Makan tidak, bercakap pun tidak. Cuba abang cakap, kita nak buat macam mana lagi?”
“Kita ada Allah. Berdoa padaNya minta petunjuk dan minta diberi kesembuhan pada Syiha ni. Doa seorang ibu lebih berkat dan afdal.” Nasihat Encik Hakim. Kepala Syiha digosok perlahan. Hati tuanya turut berasa sedih dengan apa yang menimpa anaknya. Tapi, takdir sudah menentukan segalanya. Mungkin ini dugaan yang diturunkan Allah kepada keluarganya.
“Syiha, ingat Allah nak. Jangan putus semangat macam ni. Walau apapun yang terjadi, Syiha tetap anak mak dengan abah. Syiha ada kami. Syiha ada along dan angah. Kalau berdiam diri macam ni, takkan selesaikan masalah.”
Syiha mula memberi respon. Wajah mak dan abahnya dipandang lama sebelum air mata mula mengalir. Cepat sahaja dia memeluk tubuh tua Puan Afidah. Segala rasa yang dialami diluahkan dalam bentuk tangisan.
“Menangislah kalau itu boleh melegakan Syiha.” Serak suara Puan Afidah menahan tangis. Wajah suami dipandang untuk meminjam secebis kekuatan. Belakang anaknya digosok perlahan. Cuba menyalurkan kasih sayang seorang ibu.
“Syiha sakit, mak…abah… Apa salah Syiha? Kenapa dia buat Syiha macam ni?” Mendayu suara Syiha meluahkan suara. Puan Afidah menutup mulut. Sedaya upaya menahan tangis mendengar rintihan sayu si anak.
“Syiha tak sangka dia sanggup buat Syiha macam ni. Syiha ingat dia bos yang baik. Malam tu…” Syiha terdiam. Hanya tangisan yang kembali berlagu sayu. Kepala diangkat untuk memandang wajah orang tuanya.
“Dia rogol Syiha… Dia koyak baju kerja Syiha…kenapa dia buat macam tu? Syiha balik lambat sebab dia bagi kerja banyak, suruh siapkan. Syiha tak sangka rupanya dia nak buat macam tu.” Air mata dilap kasar dengan tangan.
“Syiha benci dia! Syiha tak nak tengok muka dia lagi!” Tiba-tiba sahaja anak gadis itu menjerit. Encik Hakim terus menghampiri dan memegang tangan Syiha yang mula meracau-racau. Puan Afidah pula memeluk erat tubuh Syiha.
“Sabar nak, sabar… Astaghfirullahalazim… istighfar Syiha. Ingat Allah. Astaghfirullahalazim…” Encik Hakim berbisik di telinga anaknya. Selepas beberapa minit, Syiha mula tenang. Matanya terpejam rapat.
“Baringkan dia, Idah. Biar budak ni berehat. Kita keluar dulu.”
“Syiha tak apa-apa ke, bang? Saya nak pujuk dia buat laporan polis. Semalam, doktor tu dah beritahu saya kalau kes rogol macam ni memang kena buat laporan. Saya nak bedebah tak guna yang buat anak kita macam ni, ditangkap! Dihukum selayaknya atas kesalahan yang telah dibuat!”
“Cuba awak buat bersabar. Keadaan Syiha tu masih belum tenang. Kalau dia dah okey nanti, kita bawa dia ke balai. Awak dah telefon ke along dan angah? Mana tahu dia orang boleh tenangkan Syiha sebab mereka adik beradikkan rapat.” Puan Afidah hanya mengangguk bagi menjawab soalan suaminya.
“Insya-Allah, mereka balik hari ni. Tak pernah terlintas di fikiran saya ni, yang anak saya akan ditimpa keadaan macam ni. Kecewa saya, bang. Ada lagi manusia yang tak berhati perut macam tu atas muka bumi ni. Kalau saya jumpa, saya toreh-toreh perutnya dengan pisau getah. Biar terburai…”
“Sabar Idah…” Dari tadi Encik Hakim tidak sudah-sudah memujuk isterinya. Sebab itulah tanggungjawab keluarga ada pada lelaki. Sebab perempuan selalu sangat nak buat keputusan mengikut emosi. Bukankah sudah tertulis yang orang lelaki mempunyai 9 akal dan 1 nafsu berbanding perempuan yang mempunyai 9 nafsu dan 1 akal.
“Saya dah habis sabarlah ni, Encik Hakim. Kalau tak sabar, dah lama saya pergi serang tempat kerja Syiha dan cari bos dia yang tak guna tu.” Puan Afidah memandang muka suaminya. Encik Hakim hanya mengangguk dengan senyuman kecil.
“Iyalah… iyalah… Saya nak pergi mandi. Kejap lagi nak ke masjid.” Encik Hakim sudah berura-ura mahu beredar. Puan Afidah hanya memandang kelibat suami yang semakin menjauh.
“Ya Allah, Kau berilah keadilan kepada anakku,” doa Puan Afidah. Tangan diraup ke muka.
………………
DATUK Salleh memandang komputer riba di depannya. Janggut sejemput yang berada di dagu diusap penuh minat. Senyuman tidak lekang dari bibir.
Tok! Tok! Bunyi ketukan di pintu bilik membuatkan Datuk Salleh mengangkat muka. Dengusan kecil terbit dari mulutnya. Laju sahaja tangannya menggerakkan mouse cursor komputer ke butang bertanda X berwarna merah di hujung sebelah kanan browser internet. Terus terpadam semua video yang sedang ditontonnya. Datuk Salleh membetulkan duduk sebelum memberi arahan masuk.
“Awak nak apa?” soal Datuk Salleh lantang bila setiausahanya melangkah masuk.
“Err… Datin Maimun ada di luar, datuk.” Tergagap suara Idayu menjawab. Takut melihat wajah garang bosnya.
“Hish! Buat sibuk ajelah datang sini. Datin nak apa?” Kasar pertanyaan yang keluar dari mulut lelaki lewat 50 an itu. Idayu hanya menggeleng. Datuk Salleh memang sudah berpesan awal-awal jika ada isteri-isterinya datang, maklumkan terlebih dahulu sebelum memberi masuk.
“Awak boleh keluar. Panggil datin masuk,” arah Datuk Salleh bila setiausahanya itu hanya menunduk diam. Idayu mengangguk sebelum berlalu keluar.
“Kenapa marah-marah ni, bang?” Suara lembut Datin Maimun tidak langsung memberi kesan pada hati Datuk Salleh. Kalau masa muda dulu lain. Suara macam katak pun cakap sedap. Bila isteri dah dua, biasalah. Yang pertama mesti dah tak sedap di mata.
“Kenapa awak datang sini? Bukan ke saya dah cakap, jangan datang ke pejabat kalau tak ada hal penting. Kedatangan awak ni yang buat saya marah. Ganggu saya nak buat kerja!” Garang suara si suami memarahi isteri. Walaupun begitu, Datin Maimun tetap tersenyum.
“Maafkan saya sebab datang tak beritahu. Saya cuma nak tengok abang. Iyalah, dah tiga hari abang tak balik rumah kita. Abang duduk rumah Nurul ke?” Dia tersenyum tapi hanya Allah yang tahu betapa terasanya hati ini. Itu yang dirasakan Datin Maimun. Sejak suaminya berkahwin dua, dia seperti sudah tidak diendahkan.
“Iyalah! Habis, saya nak ke mana lagi kalau tak ke sana. Buat apalah awak susah-susah datang sini. Saya sihat ajelah. Esok saya baliklah rumah awak pula. Nurul kurang sihat dua tiga hari ni. Sebab itu saya nak temankan dia.” Datin Maimun hanya mengangguk mendengar penjelasan si suami. Entah benar entah rekaan.
“Saya nak beritahu, semalam Adwan ada telefon. Dia kata hujung bulan ni dia balik.” Hati yang pilu tadi kini bertukar ceria bila mengenangkan perihal si anak. Wajah suami yang tidak beriak mematikan kegembiraannya.
“Budak tu dah habis study ke?” Budak! Terkesima Datin Maimun. Anaknya punya nama, kenapa harus dipanggil sebegitu? Tidak mahukah suaminya menyebut nama anak lelaki mereka? Perlahan kepala dianggukkan sebagai jawapan balas kepada soalan suaminya.
“Hmm… iyalah. Ada apa-apa lagi awak nak beritahu saya? Saya tengah sibuk ni.” Datuk Salleh mula mencapai fail dan dibuka.
“Saya ingat nak buat jamuan…” Belum habis Datin Maimun bersuara, suaminya telah memotong.
“Kalau nak bincang pasal anak awak tu, baik tak payah. Saya tak nak ambil tahu. Banyak lagi benda penting yang saya kena urus. Kalaulah Akram masih ada, saya takkan sibuk macam ni. Ada juga yang membantu. Ini semua anak awak punya pasal!” Berbahang ruang bilik dengan suara kasar Datuk Salleh. Datin Maimun mengelap air mata.
“Sudahlah, abang! Orang yang dah pergi, jangan disebut-sebut lagi. Semua tu kemalangan. Kenapa abang tak boleh terima? Jangan salahkan Adwan atas kematian Akram.” Pilu suara Datin Maimun meluah rasa.
“Argh! Awak jangan nak membela anak awak tu. Kalau bukan sebab budak tu, anak kebanggaan saya takkan mati. Budak tu memang dengki dengan Akram!”
“Adwan anak abang juga!” Cepat sahaja Datin Maimun memintas. Tidak betah mendengar cacian suaminya terhadap anak bongsunya.
“Baik awak balik, Mai. Kalau awak dekat sini awak asyik nak menangkan anak awak tu. Buat darah saya naik. Baik awak balik.” Datuk Salleh memusingkan kerusi menghadap tingkap. Mata dipejam rapat. Datin Maimun mengelap pipi sebelum melangkah keluar. Kecewa dengan sikap suaminya yang semakin hari semakin berubah. Asyik perkara lama itu yang mahu diungkitnya. Walhal, sudah lebih 5 tahun berlalu.
“Datin tak apa-apa?” Idayu menghampiri. Datin Maimun hanya tersenyum.
“Saya okey. Terima kasih Idayu. Saya balik dulu ya.” Selepas bersalam dengan setiausaha suaminya itu, dia terus meninggalkan kawasan bangunan syarikat. Dalam hati berdoa semoga suaminya akan berubah.
~bersambung...
First chapter. Harap terhibur! :)
Langgan:
Catatan (Atom)
